samedi 7 novembre 2009

Kejayaan Sebenar KITA

Teringat zaman sekolah menengah dulu, kata-kata seorang cikgu kimia setiap kali menyampaikan tazkirah di surau. Beliau sering memulakan bicara kepada hadirin yang ada dengan peringatan sama bahawa "sesungguhnya kejayaan manusia hanyalah dalam agama Islam, sejauh mana manusia itu taat kepada perintah Allah swt dan ikut sunnah Nabi Muhammad saw".

Sekiranya harta menjadi pilihan Allah swt untuk manusia berjaya, maka Qarun lah orangnya. Sekiranya darjat yang menentukan kejayaan seseorang insan, maka Firaun laknatullah yang telah lama berjaya. Sekiranya pangkat dan kuasa menjadi ukuran, maka sesungguhnya Hamman sudah lama berbahagia. Tetapi tidak duhai sahabat, insan-insan ini telah dilaknat Allah swt atas keangkuhan, keengkaran dan kesombongan mereka sendiri.

Ingatlah, kejayaan manusia hanyalah di jalan Dinul Haq, agama Islam yang diredhai Allah swt. Hanya agama Islam sahaja yang mampu memimpin setiap jiwa yang bernyawa berjaya di muka bumi sehingga bertemu Allah swt. Hal ini telah dibuktikn dengan kejayaan Nabi tercinta kita, kekasih Allah. Rasulullah saw telah berjaya mengubah dengan izin Allah sebuah masyarakat jahiliyyah dengan membawa kepada mereka satu agama yang Kamil Mutakamil, dengan mendidik mereka mengenal al Khaliq. Rasulullah saw telah berjaya membina insan-insan yang sangt mencintai Allah saw dan sentiasa berjuang menyambung perjuangan baginda sehingga akhir zaman. Mereka terus teguh menyampaikn mesej Islam berdakwah mengajak manusia beriman kepada Allah swt walau sehebat mana mehnah dan fitnah melanda.

Sahabat, kejayaan manusia bukan terletak pada wang ringgit, bukan pada kedudukan dan nama, tetapi kejayaan kita di dunia mahupun akhirat terletak sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaan kita pada Allah swt tanpa melupakan tanggungjawab kita terhadap manusia lain dengan menyampaikn intipati Islam kepada mereka. Terlaksana segala tanggungjawab kita, sebagai hamba dan khalifah, insyaAllah kejayaan besar menanti kita dan cita-cita kita untuk ikuti jejak langkah hamba Allah swt yang paling suci hatinya menemui syurga tercapai insyaAllah.

Sahabat, jadilah kita hamba yang soleh dan terus mengajak jiwa-jiwa di sekeliling kita mengesa dan mematuhi perintah Allah swt. Di sinilah terletaknya segala kemuliaan kita di sisi Allah swt.

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" : Fussilat ayat 33

1 commentaires:

hadi a dit…

merci mon pote.